Followers

Sunday 25 March 2012

Segalanya masalah Haid








Bagaimana untuk mengetahui pendarahan semasa haid adalah banyak daripada sepatutnya?

Masalah untuk mengukur berapakah  jumlah darah haid yang turun adalah amat subjektif. Kebiasaannya jumlah darah yang turun adalah 30 cc dalam masa seminggu. Definasi menoragia/perdarahan terlau banyak adalah bilamana darah haid melebihi dari 80cc dalam seminggu. Sebarang perdarahan melebihi dari itu akan menyebabkan anemia.Adalah tidak praktikal bagi kita mengukur jumlah haid yang turun setiap bulan. Oleh kerana itu beberapa petunjuk seperti jumlah tuala wanita yang digunakan dalam masa sehari atau seminggu,adakah ianya didatangi dengan ketulan-ketulan darah dan saiznya ,berapa kerap wanita itu menukar tuala dalam sejam dan juga adakah mereka mengalami susah bernafas dan cepat mengah sebagai petunjuk kepada keseriusan darah yang turun.Kesemua ini adalah  amat sukar untuk di kuantitikan. Sekiranya ujian darah menunjukkan wanita itu mengalami anemia/kurang haemoglobin maka diagnosa menoragia mungkin betul. Terdapat beberapa carta yang kami gunakan bagi pesakit menganggarkan jumlah darah yang turun dengan berpantukan pada gambar yang diberi. Segelintir wanita yang terlalu obses tentang haid mereka beranggapan mereka mengalami menoragia kerana kerap sangat menukar tuala.

2. Adakah masalah darah haid banyak berlaku hanya pada wanita sudah berusia dan berkahwin saja? Bagaimana dengan remaja dan yang belum berkahwin?
Terdapat dua peringkat umur yang selalu mempunyai masalah menoragia. Kedua-dua peringkat ini adalah pada peringkat remaja bawah 20 tahun dan pada umur melebihi 40an. Di peringkat umur yang ekstrem ini,mereka selalu mempunyai masalah haid yang tidak menentu seperti haid panjang,banyak dan tidak menentu sehingga boleh menganggu kehidupan mereka. Umur diperingkat pertengahan mereka selalu mempunyai kitaran haid yang normal.

3. Apakah punca berlakunya pendarahan haid yang banyak?

Kitaran haid memerlukan interaksi hormon dari kelenjar pituitari,ovari dan rahim. Kitaran haid adalah normal sekiranya tiada masalah pada ketiga-tiganya. Amat jarang sekali kelenjar pituitari memberi masalah. Masalah pada ovari adalah punca utama haid yang tidak normal dan banyak. Bila umur di peringkat 20 tahun dan lebih 40 tahun terdapat folikel-folikel/benih-benih telur tidak dapat membesar dengan baik hingga keperingkat ovulasi. Bila tidak ada ovulasi, dinding rahim akan dirangsang terlalu lama dan mencapai ketabalan yang maksimum kerana folikel-folikel akan menghasil hormone estrogen yang berlebihan. Bila dinding terlalu tebal ia akan luruh dengan banyak sekali menyebabkan menoragia. Rahim bukannya punca penting. Fibroid walaupun kita beranggapan adalah punca menoragia, sebemar ianya tidak. Fibroid tidak menganggu haid kecuali ianya sudah terlau besar atau fibroib ini membesar didalam rongga rahim. Tentu sekali wanita sudah menopos kita kuatir tentang risiko kanser rahim yang boleh menyebabkan menoragia. 


4. Apakah simptom-simtom lain yang sering dialami wanita yang mengalami masalah haid banyak?

Selain dari haid yang banyak sehingga menganggu kehidupan sosial mereka ,mereka juga akan mengalami simtom-simtom anemia. Simtom-simtom adalah susah bernafas,tercungap-cungap, keletihan dan tidak bermaya terutama semasa berjalan.Mereka kelihatan pucat dan selalu pening.
Kadangkala ada yang akan mengalami kaki bengkak kerana kegagalan jantong yang disebabkan anemia kronik.

5. Adakah masalah darah haid banyak hanya berlaku pada wanita yang mengalami kitaran haid tidak tetap setiap bulan?
Kebanyakkan begitulah. Mereka yang tidak mempunyai kitaran yang tidak tetap, mereka juga mempunyai  masalah pada ovari .Jadi tidak hairan kalau mereka juga mengalami masalah menoragia.

6. Difahamkan  memasang  alat interauterine digunakan untuk pencegahan kehamilan amat berpotensi menyebabkan menoragia. Mengapa perkara ini boleh berlaku?
Alat pencegah kahamilan IUCD contohnya Cu 250 boleh menyebabkan perdarahan lebih daripada biasa dan jarang sekali menoragia. Potensinya memang ada. Fakta ini tidak boleh di jadikan isu yang patut di kedepankan bagi wanita yang ingin menginginkan IUCD sebagai pilihan merancang keluarga. Memang kami akui ianya menyebabkan darah haid lebih dari biasa tetapi tidak memudaratkan. Secara praktikalnya ini bukan satu masalah yang besar bagi pesakit. IUCD ini mempunyai tembaga/kuprum di kelilingnya bagi memberi kesan kontraseptif yang lebih berkesan.
Kuprum menyebabkan inflamasi dalam rahim kerana terdapatnya benda-asing.


7. Difahamkan terdapat juga alat IUCD iaitu MIRENA  yang dikatakan boleh membantu mengurangkan perdarahan haid. Adakah doktor menyarankan menggunakan
kaedah itu?
 Saya banyak menggunakan MIRENA bagi wanita yang mempunyai masalah menoragia dan tidak mempunyai niat untuk mengandong lagi. Jadi ia amat sesuai bagi mereka dalam 40 tahun keatas. Penggunaan IUCD jenis ini sesuai bagi mereka yang mempunyai rahim bersaiz normal dan rahim tidak mempunyai masalah lain seperti fibroid . Kaedah ini sesuai untuk mereka yang tidak sesuai untuk pembedahan atau tidah mahu pembedahan dan ingin cuba kaedah yang kurang radikal.Kebanyakkan wanita boleh menerima serba sedikit masalah yang timbul dengan MIRENA tetapi yang penting mereka dapati jumlah darah haid berkurangan. MIRENA bukan sesuai untuk  semua wanita yamng mempunyai masalah yang sama .Paling baik berbincangkan dengan doktor yang merawat puan.

8. Adakah kaedah itu disarankan dan sejauh mana keberkesanannya sedangkan alat IUD dikatakan berpotensi menyebabkan haid banyak?
 IUD ini terdapat dalam dua jenis. Yang menyebabkan haid banyak  bukannya menoragia adalah jenis bertembaga seperti Cu 250,Cu-T dan lain- lain tetapi MERINA yang mempunyai hormon  memberi kesan yang berlainan iaitu dapat mengurangkan masalah menoragia.Kitaran atau pusingan tidak terjejas. Maknanya kalau haid tidak tetap, maka menggunakan MERINA juga haid mereka  juga tidak tetap.

9. Adakah kaedah itu juga sesuai digunakan oleh golongan remaja yang mengalami masalah haid banyak.
Kalau remaja saya tidak menggunakan MIRENA. Saya lebih suka menggunakan hormone seperti pil cegah kehamilan yang perlu diambil selama 21 hari atau 24 hari.Saya rasa ini amat sesuai dengan umur mereka dan hormon ini lebih ‘gentle’ pada mereka. Dengan pengambil pil ini kitaran haiad akan tetap dan amaun darah haid yang turun pun akan berkurangan. Jika mereka mempunyai senggugut,ianya  juga akan berkurangan dan ada yang hilang.Pil ini juga boleh diambil dalam masa yang agak lama dan mempunyai risiko yang rendah pada remaja.

10. Apakah rawatan sesuai bagi masalah haid banyak?


Masalah haid banyak ini tidak ada satu rawatan untuk semua. Kita mesti meng'individukan’ rawatan kita bergantong pada punca,umur dan kehendak mereka. Jadi saya rasa mereka patut berbincang dengan doctor mereka apakah rawatan yang terbaik.

11. Bagaimanakah wanita/remaja  yang mengalami masalah haid banyak boleh memilih atau mengetahui keberkesanan kaedah yang dipilihnya?


Sukar menentukan mana satu yang 'perfect' untuk seseotrang wanita itu. Selalunya kami akan berikan rawatan yang kami rasa terbaik untuk mereka tetapi kami tidak menjaminkan ianya benar-benar dapat memulihkan menoragia. Jika kami gagal kami akan pergi ke langkah kedua. Begitulah seterusnya. Kerana rawatan terakhir kes-kes menoragia ialah histerektomi iaitu pembuangan rahim .Tetapi di antaranya terdapat kaedah-kaedah yang agak konservatif seperti 'endometrial ablation' dan resection. Kaedah-kaedah ini boleh menangguhkan menoragia dari terjadi semula sebelum rawatan definitif  pembedahan histerektomi dijalankan.

12. Apakah nasihat doktor bagi wanita yang mengalami masalah haid banyak?

Nasihat saya senang sahaja. Kalau puan rasa mengalami masalah menoragia, segera berjumpa doctor ginekologi. Kami akan melakukan pemeriksaan ultrasound untuk melihat system reproduktif puan .Tujuan nya adalah untuk mencari punca seperti fibroid dan kadangkala sista pada ovari. Bagi mereke yang lebih 40 tahun kami syorkan histeroskopi dan D&C untuk mencari punca dalam rongga rahim .D&C kami gunakan unutk mendapatkan sampel dinding rahim bagi tujuan histologi. Yang penting adalah untuk melihat kalau ada kanser rahim. Keadah yang paling konservatif adalah menggunakan ubatan hormone dan transamine setiap bulan. Kalau pembedahan yang kurang radikal adalah seperti endometrial ablation atau resection. Yang ultimate nya adalah histerektomi. INi semua adalah beberapa pilihan yang ada dan setiap rawatan adalah individu.





Monday 19 March 2012

Alahan semasa Hamil


Kerapkali  pesakit saya mengalami alahan atau morning sickness yang teruk sehinggakan mereka takut untuk hamil lagi. Alahan adalah perkara biasa dan hampir semua wanita akan mengalaminya dalam keseriusan yang berbeza-beza. Alahan ini selalunya berlaku pada  usia kandongan 6 minggu keatas dan biasanya berakhir pada usia kandongan 16 minggu.
Punca alahan semasa hamil, kami percaya ada kaitannya dengan peningkatan sselepas persenyawaan dan ianya penting untuk menampung janin semasa peringkat awal  pertumbuhan mereka. Paras B-hCG ini akan memuncak pada 16 minggu kehamilan dan akan menurun selepas itu.
Istilah morning sickness adalah tidak tepat kerana hanya 5 peratus sahaja wanita yang hamil mengalami alahan diwaktu pagi tetapi pada hakikatnya ianya boleh berlaku pada bila-bila masa.
Description: http://www.alphacenter-sc.org/fetal_graphics/08week.jpg
Kesan alahan pada ibu
Alahan yang sederhana tidak banyak memberi kesan negatif pada ibu. Hanya yang serius sahaja mempunyai kesan kesan terhadap mereka dan TIDAK  kepada bayi didalam rahim.Alahan yang serius di panggil Hyperemesis Gravidarum dan ini hanya berlaku  kurang dari 2 peratus dari semua wanita yang hamil.
Impak yang pertama adalah pada fizikal dan emosi. Ibu-ibu yang mengalami alahan yang berpanjangan selama 3 hingga 4 bulan hamil akan mengalami gangguan self well being dan aktiviti-aktiviti harian mereka. Keletihan,kurang bermaya,lesu,tidak bertenaga dan pedih di ulu hati adalah perkara-perkara yang selalu berlaku. Ini semua akan menyebabkan keresahan dan kebimbangan terhadap bayi dan kerja di pejabat mereka.
Impak yang kedua adalah kecelaruan metabolisma dan elektrolit dalam badan. Kesan alahan yang teruk menyebabkan ibu mengalami dihidrasi,gangguan elektrolit,ketosis dan juga penurunan berat badan.Akibat dari muntah yang tiada penghujungnya dan tidak makan dan minum, menyebabkan badan akan menggunakan sumber-sumber lain seperti glikogen dalam hati,protin dari otot-otot dan lemak dari bawah kulit dan usus sebagai alternatif sumber tenaga.
Cara mengatasi alahan
Modifikasi carahidup adalah pendekatan yang boleh diambil terlebih dahulu sebelum cara perubatan digunakan.
Diet- Nasihat saya tentang ini ialah “ makan apa yang kita mahu,dalam amaun yang sedikit tetapi kerap”.Kebiasaannya naluri kita akan beritahu kita apakah  makanan atau minuman yang kita boleh ambil semasa hamil. Wanita yang  hamil selalu akan berasa loya dan mungkin muntah dengan makanan berminyak dan berbau kuat. Sudah tentu sekali ini perlu dielakkan. Mungkin ianya boleh diganti dengan makanan yang di rebus bukannya yang di goreng. Makan sepinggan nasi berkemungkinan besar menyebabkan si ibu muntah kalau dibandingkan makan sesuap nasi. Oleh kerana itu makan sedikit-sedikit tetapi kerap. Cara ini membolehkan ibu boleh mendapat sumber karbohidrat,protin dan lemak semasa hamil.
Dari segi minuman pula, minuman berperisa masam seperti lemonade,Ribena boleh diminum jika dibandingkan dengan air kosong. Kalau teringin air bersoda pastikan gas CO2 dilepaskan dahulu kerana ia boleh menyebabkan pedih ulu hati. Waspada dengan kandongan gula dalam minuman ini dan bagi saya tidaklah memudaratkan kalau diambil untuk masa yang pendek.
Bau-bauan - Mereka amat peka pada bau-bauan seperti parfum ,makanan dan juga bau badan suami. Ini mereka perlu berbincangkan dengan suami  cara mengatasinya tanpa suami ambil hati. Masalahnya tentang bauan ini apabila si ibu duduk di apartmen,kondo dan rumah pangsa kerana terlaku sukar menghidari bau masakan jiran-jiran tetangga!
Halia,jeruk masam boleh membantu mengurangkan rasa mual dan loya ini.Bagi saya apa cara bagi mengurangkan masalah alahan ianya OK.
Saya rasa pada waktu ini si ibu perlu mendapat sokongan dari suami dan juga kawan sepejabat dan jiran unutk membantu mereka.
Bilakah anda perlu mendapatkan pertolongan dari doctor?
Perkara ini adalah subjektif kerana terlalu banyak factor-faktor lain yang perlu dikira. Bagi saya jika seseorang itu sudah merasakan mereka tidak mampu kerana alahan yang berpanjangan,keletihan dan tidak boleh makan maka mereka mesti mendapatkan pertolongan dari doctor. Dihidrasi boleh menyebabkan kita tidak dapat memberi tumpuan pada kerja dan kita terasa amat lemah.
Dalam kes-kes yang sederhana, mengambil pil-pil anti-emetik/tahan muntah  sudah memadai tetapi kes-kes yang teruk memerlukan infusi air garam kedalam badan bagi memulihkan air badan yang kering dan memulihkan ketidakimbangan elektrolit dalam darah. Suntikan anti-emetik diperlukan bagi memberhentikan alahan bagi 24 jam yang pertama. Saya juga memberikan suntikan gastrik bagi mengurangkan paras asid dalam perut yang menyebabkan pedih ulu hati.Ini semua boleh dilakukan dalam masa 24 jam dan bila pulang saya akan membekalkan anti-emetik dan anti-gastrik dalam bentuk tablet.  Saya cadangkan ambil ubat anti-emetik untuk beberapa minggu sebelum boleh diberhentikan.
Apakah ubat anti-emetik yang digunakan dan apakah pula kesan sampingannya?
Terlalu banyak ubat anti-emetik berada dipasaran. Saya nasihatkan berjumpa dengan doctor dahulu sebelum mengambilnya kerana ada ubat yang tidak  bolehdiambil kerana kesan pada janin.
1.Kombinasi Pyridoxine dan Doxylamine- Ini dikira sebagai  rawatan 1st –line. Pyridoxine tidak diketahui mempunyai kesan teratogenik/kecacatan pada janin.
2.Antihistamin seperti Meclizine,Promethazine. Anti-histamin boleh menyebabkan drowsiness,dizziness,incoordination,mulut kering,mata kabur,constipation,palpitation.
3.Phenothiazines seperti Chorpromazine. Ianya boleh menyebabkan mulut kering,mata kabur,constipation,tekanan darah rendah.
4.Agen Prokinetik seperti Metoclopramide.Ianya boleh menyebabkan drowsiness,dizziness,sakitkepala,restlessness dan depression. Dan juga cirirt birit.
5. Serotonin Antagonis seperti Ondansetron bagi kes-kes yang teruk.

Kesimpulannya,alahan adalah perkara yang normal pada wanita yang hamil dan perbezaan diantara seseorang adalah keseriusannya ada ibu-ibu tersebut. Jika ibu mendapati mereka tidak dapat mengawal alahan ini dan mampu makan dan minum,segeralah mendapatkan pertolongan dari doctor. Rehidrasi dan antiemetic adalah rawatan yang penting bagi kes-kes yang serius.

Saturday 17 March 2012

Pengenalan

Salam sejahtera semua .
Saya teruja untuk membuat laman blog ini kerana amat kecil bilangan blog dalam bahasa melayu untuk para para ibu dan wanita mencari informasi mengenai kehamilan dan masalah-masalah kaum hawa. Saya berharap blog dapat ini dapat membantu anda semua disamping menggalakkan anda membaca dan mencari ilmu bagi membantu diri sendiri serta orang lain dalam menjalani kehidupan sebagai ibu dan isteri. Dalam kesibukan tugasan harian, saya, akan cuba memuatkan artikel-artikel ,soal jawab masalah yang dihantar dan juga anecdotes yang lain yang saya rasa boleh dikongsi bersama. Selamat membaca.